Wednesday 6 August 2008

Taman Ular Sawa Ulu Bendol

KUALA PILAH 12 Mei - Taman Ular Sawa yang terletak di Ulu Bendul di sini mencatat sejarah apabila 11 ekor anak ular spesies anaconda dilahirkan di situ dua hari lepas.Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Mohamad Razi Kail berkata, perkembangan tersebut merupakan detik bersejarah kepada taman yang baru dibuka kepada orang ramai itu.

''Ular daripada spesies anaconda ini tidak menetaskan telur tetapi melahirkan anak- anak.''Ini adalah keunikan ular jenis ini yang kita import dari Brazil,'' katanya kepada pemberita sempena lawatan kerja sehari meninjau produk pelancongan di daerah Kuala Pilah di sini hari ini.
Beliau memberitahu, anak-anak ular berkenaan diasingkan di dalam bilik khas, manakala ibunya ditempatkan semula dalam sangkar belaan. Tambahnya, lapan daripada anak ular tersebut berada dalam keadaan sihat, manakala tiga lagi diletakkan dalam bilik rawatan rapi.


Tarikan Kata Mohamad Razi, kelahiran anak ular anaconda itu akan menjadi satu lagi daya tarikan kepada Taman Ular Sawa yang pertama seumpama itu di negara ini.''Kita percaya, 11 ekor anak ular spesies anaconda ini akan menjadi keluarga terbaru di taman ini," katanya.
Beliau memberitahu, taman tersebut mempunyai lebih 30 spesis ular sawa termasuk dari dalam negara dan diimport dari negara lain seperti Thailand, Burma, Papua New Guinea, Australia dan Brazil.



''Ketika ini, fasa satu projek penyediaan infrastruktur di Taman Ular Sawa ini telah pun siap dan dibuka kepada orang ramai,'' katanya. Beliau memberitahu, tiada bayaran dikenakan buat sementara ini sebagai promosi kepada satu destinasi pelancongan yang menarik di negeri Adat Perpatih ini





Turut sama dalam lawatan itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Modal Insan, Belia dan Sukan negeri, Abdul Samad Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Seri Menanti serta ketua-ketua jabatan, agensi pelancongan, pengusaha hotel serta pihak media.


Projek pelaksanaan fasa satu Taman Ular Sawa ini membabitkan penyediaan infrastruktur, sangkar dan pelbagai kemudahan lain yang menelan belanja RM700,000, manakala kos mengimport ular pelbagai spesies dari luar negara pula menelan belanja RM400,000.



No comments: