Wednesday 6 August 2008

Gunung Angsi: Salam Perkenalan








Kedudukan Geografi


Gunung Angsi adalah sebuah gunung yang terkenal di Negeri Sembilan. ianya adalah sebuah gunung yang hanya mempunyai ketinggian 825 meter sahaja atau 2702 kaki. Gunung ini terletak kira-kira 20 kilometer dari Seremban, mengarah ke Kuala Pilah. Pengunjung yang datang dari arah Seremban, akan menikmati perjalanan melalui Bukit Putus dan singgah ke Hutan Lipur Ulu Bendul. Sekiranya pengunjung ingin mendaki melalui trek Ulu Bendul, pendaki boleh meletakkan kenderaan di sekitar kawasan utama hutan rekreasi tersebut, atau meletakkan kenderaan lebih ke dalam iaitu di sekitar kawasan chalet.


Trek mendaki ke puncak gunung ini amat mudah diikuti kerana laluannya telahpun disediakan bermula dari kolam mandi utama dan laluan treknya telah menjadi selebar 2-3 meter. Namun begitu sebenarnya terdapat tiga trek untuk mendaki gunung ini, yang ke dua adalah mendaki daripada puncak laluan bukit putus, iaitu, penamat kepada jalan bengkang-bengkok sekiranya pendaki datang dari arah Seremban. Trek dari sini adalah lebih kecil kerana trek ini jarang di gunakan. Trek yang ke tiga adalah mula mendaki dari kawasan perindustrian di Senawang (bersebelahan dengan Taman Tasik ). Pendakian tidaklah sesukar gunung-gunung lain kerana Gunung Angsi ini tidaklah tinggi dan hanya sesuai menjadi tempat berlatih sahaja.


Perbandingan yang di buat diantara trek Ulu Bendul dan Trek Bukit Putus ini adalah trek Ulu Bendul adalah lebih jauh kerana pendaki terpaksa melalui beberapa bukit dari pondok Guard ke Jeram Kak Lang manakala pendakian dari Bukit Putus adalah lebih dekat dan landai.


Pendakian Bermula dari Ulu Bendul.


Sekiranya pendaki bermula dari Ulu Bendul, pendaki haruslah berdaftar di pos pengawal, di sekitar kawasan chelet sebelum tengahari. perlu di ambil kira, bermalam adalah tidak di benarkan di puncak gunung, melainkan pendaki memulakan pendakian dari bukit putus. Melalui trek ini, pendaki akan mengikuti laluan yang telah tersedia, dan melalui beberapa bukit, sehinggalah berjumpa dengan Jeram Kak Lang. Di sini selalunya di jadikan Check point yang pertama.


Perjalanan di teruskan dengan melintasi sungai di atas jeram tersebut, sehingga berjumpa dengan satu lagi anak sungai merangkap last waterpoint. Seterusnya anda akan menjumpai kawasan pembalakan. Apabila terjumpa dengan kawasan pembalakan ini, pendaki haruslah mengikuti arah kiri dan melalui trek balak ini sehingga menjumpai laluan kembali ke trek yang asal. Laluan ini di teruskan sehinggalah berjumpa dengan puncak botak. Di kawasan puncak Botak ini, pendaki haruslah berhati-hati kerana kawasannya licin kerana berpasir. Laluan seterusnya mengambil masa sehingga 45 minit sehinggalah ke puncak


Pendakian bermula dari Puncak Bukit Putus


Sekiranya pendaki ingin memulakan perjalanan dari puncak Bukit Putus, pendaki boleh meletakkan kenderaan di gerai yang terletak di sebelah kiri jalan. Untuk pengetahuan para pendaki, setelah melalui perjalanan yang penuh dengan jalan bengkang-bengkok, pendaki akan terlihat sebuah gerai di sebelah kiri jalan. Pastikan pendaki turun di sini.


Kemudian pendaki akan menyeberangi jalan, dan menaiki satu trek yang jelas kelihatan dari seberang jalan tersebut. Dalam perjalanan melalui trek ini, pendaki juga akan berjumpa dengan kawasan laluan pembalak, pastikan pendaki tidak mengikuti laluan ini dan teruskan perjalanan anda secara lurus atau menegak, dan anda akan berjumpa kembali dengan trek yang sebenar. Pendaki akan meneruskan perjalanan mengikuti trek sehinggalah pendaki tiba ke puncak Gunung Angsi dari belakang iaitu bertentangan dengan trek Ulu Bendul di puncak tersebut.


Bagi yang ingin mencuba menggunakan trek balak, apabila berjumpa dengan trek balak tersebut, pendaki perlu mengikuti trek ke kanan yang mengarah ke atas atau mendaki. Sekiranya melalui terk ini, pendaki akan melalui trek yang di buat oleh golongan-golongan chilake yang nak kaya cepat a.k.a trek balak yang penuh dengan kehancuran kawasan hutan. Melalui trek ini, pendaki akan berjumpa kawasan tanah runtuh, rekahan di trek namun begitu. Daripada trek ini, pendaki boleh melihat Empangan Terip yang berada di Pantai.


Penutup.


Hutan Rekreasi Ulu Bendul adalah tempat tumpuan rakyat berdekatan untuk beriadah dan sebagai tempat perkhemahan bagi sekolah-sekolah. Dengan erti kata lain, kawasan tersebut sesuai untuk aktiviti rasmi, yang memerlukan prasarana yang cukup seperti tandas, bilik mandi, tapak perkhemahan dan kantin, talipon, surau dan lain-lain. Waktu terbaik untuk mendaki adalah sekitar jam 8 pagi ke jam 9 pagi. Bagi pendaki yang menaiki bas, adalah di sarankan supaya pendaki menaiki trek Bukit Putus dan menuruni Gunung Angsi melalui trek Ulu Bendul. Maka adalah mudah bagi pendaki bersiap untuk pulang kerana di Ulu Bendul, terdapat banyak bilik mandi, gerai makan dan tempat untuk menunggu bas. Waktu terbaik untuk mendaki adalah sekitar jam 8 pagi ke jam 9 pagi. Okeh, selamat mendaki!!!!

Taman Ular Sawa Ulu Bendol

KUALA PILAH 12 Mei - Taman Ular Sawa yang terletak di Ulu Bendul di sini mencatat sejarah apabila 11 ekor anak ular spesies anaconda dilahirkan di situ dua hari lepas.Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Mohamad Razi Kail berkata, perkembangan tersebut merupakan detik bersejarah kepada taman yang baru dibuka kepada orang ramai itu.

''Ular daripada spesies anaconda ini tidak menetaskan telur tetapi melahirkan anak- anak.''Ini adalah keunikan ular jenis ini yang kita import dari Brazil,'' katanya kepada pemberita sempena lawatan kerja sehari meninjau produk pelancongan di daerah Kuala Pilah di sini hari ini.
Beliau memberitahu, anak-anak ular berkenaan diasingkan di dalam bilik khas, manakala ibunya ditempatkan semula dalam sangkar belaan. Tambahnya, lapan daripada anak ular tersebut berada dalam keadaan sihat, manakala tiga lagi diletakkan dalam bilik rawatan rapi.


Tarikan Kata Mohamad Razi, kelahiran anak ular anaconda itu akan menjadi satu lagi daya tarikan kepada Taman Ular Sawa yang pertama seumpama itu di negara ini.''Kita percaya, 11 ekor anak ular spesies anaconda ini akan menjadi keluarga terbaru di taman ini," katanya.
Beliau memberitahu, taman tersebut mempunyai lebih 30 spesis ular sawa termasuk dari dalam negara dan diimport dari negara lain seperti Thailand, Burma, Papua New Guinea, Australia dan Brazil.



''Ketika ini, fasa satu projek penyediaan infrastruktur di Taman Ular Sawa ini telah pun siap dan dibuka kepada orang ramai,'' katanya. Beliau memberitahu, tiada bayaran dikenakan buat sementara ini sebagai promosi kepada satu destinasi pelancongan yang menarik di negeri Adat Perpatih ini





Turut sama dalam lawatan itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Modal Insan, Belia dan Sukan negeri, Abdul Samad Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Seri Menanti serta ketua-ketua jabatan, agensi pelancongan, pengusaha hotel serta pihak media.


Projek pelaksanaan fasa satu Taman Ular Sawa ini membabitkan penyediaan infrastruktur, sangkar dan pelbagai kemudahan lain yang menelan belanja RM700,000, manakala kos mengimport ular pelbagai spesies dari luar negara pula menelan belanja RM400,000.



EKSPEDISI GUNUNG ANGSI SEMPENA KEMERDEKAAN KE-51

KERTAS KERJA DASAR
EKSPEDISI GUNUNG ANGSI SEMPENA KEMERDEKAAN KE-51

1. Muqaddimah


Ekspedisi pendakian dan penerokaan alam merupakan salah satu program teras yang disusun di dalam silibus Syabab - Kadet Pertahanan Awam Siri-siri ekspedisi yang telah melakarkan sejarah seperti Ekspedisi Gunung Dato (2002), Ekspedisi Gunung Nuang (2003), Ekspedisi Gunung Kinabalu (2003), Ekspedisi Gunung Ledang (2004), Ekspedisi Gua Tempurung (2005), Ekspedisi Gunung Hijau (2006) dan Ekspedisi Banjaran Titiwangsa (2007) tentunya telah mematangkan murid-murid dan menyajikan mereka dengan seribu satu pengalaman malah mereka mampu mengecapai dan mensyukuri anugerah ciptaan Ilahi.

Bertitik tolak daripada itu, Jabatan Extra-kurikulum mengadakan satu lagi ekspedisi supaya dapat menggarap segala ilmu yang dipelajari oleh murid-murid dan dipraktikkan dengan situasi sebenar yang mencabar. Jabatan Extra kurikulum pada tahun ini memilih Gunung Angsi sebagai medan tarbiah yang terbaik untuk memenuhi hasrat tersebut.


2. Objektif

Ekspedisi ini mempunyai beberapa objektif yang telah dirangka secara sistematik dan praktikal untuk dicapai antaranya ialah:

i) Menguji ketahanan fizikal dan mental anggota kadet
ii) Mempraktikkan ilmu-ilmu yang telah dipelajari
iii) Menjana semangat kepimpinan yang jitu
iv) Membentuk sahsiah dan akhlak Islam yang terpuji
v) Menerokai dan menghayati ciptaan Allah yang Maha Agung
vi) Memantapkan ukhuwah sesama pelajar dan guru-guru
vii) Memantapkan amal jama’i (team building) di kalangan anggota
viii) Merasai perit jerih pengorbanan perwira negara mempertahankan tanah air daripada penjajah asing
ix) Menyatakan kesyukuran kepada Ilahi di atas nikmat kemerdekaan.

3. Tema

”Memperkasa Generasi Soleh Wa Musleh Yang Merdeka”

4. Tempat

a) Hutan Lipur Ulu Bendul, Kuala Pilah.
b) Gunung Angsi.
c) Taman Ular Sawa.
d) Pejabat Jabatan Pertahanan Awam, Seremban.

5. Tarikh dan Masa

15 , 16 dan 17 Ogos 2008 (Jumaat, Sabtu dan Ahad)

6. Anjuran

a)Jabatan Extra kurikulum, Sekolah Menengah Islam Al Amin


7. Kerjasama

MASYAB
Jabatan Pertahanan Awam (JPA 3) Kuala Lumpur
Jabatan Pertahanan Awam (JPA 3) Seremban
Jabatan Hutan Kuala Pilah
PDRM
Alumni

8. Peserta Ekspedisi

Peserta ekspedisi seramai 150 orang terdiri daripada :

a) 100 orang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Islam Al-amin, Gombak. (50 banin, 50 banat)
b) 22 orang AJK tingkatan empat
c) 10 orang guru Syabab
d) 4 orang anggota Jabatan Pertahanan Awam
e) 6 orang Alumni SMIAAG
d) 8 orang staf Al-amin dan wakil PIBG


9. Penutup

Jabatan Extra-kokurikulum Sekolah Menengah Islam Al-Amin, mengharapkan segala perancangan yang dibuat dapat dilaksanakan dengan jayanya demi mencapai objektif yang telah digariskan bagi melahirkan sebuah generasi soleh dan musleh yang mempunyai daya juang dan ketahanan fizikal dan mental yang tinggi. Jabatan ini juga berharap semoga semua pihak dapat bekerjasama menyumbangkan buah fikiran, tenaga mahupun sumbangan kewangan untuk menjayakan hasrat murni kami. Semoga Allah memberkati usaha dan pengorbanan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung di dalam menjayakan program ini.


Disediakan oleh,


_______________________
(HASNAN BIN ABU BAKAR)
Pengarah,
Ekspedisi Gunung Angsi.